Wednesday, July 8, 2009

Tiada bukti berlaku penyelewengan di dalam isu PKFZ - Khalid Ibrahim


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata setakat ini tidak ada bukti menunjukkan berlaku penyelewengan di dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Beliau berkata, pada pendapatnya apa yang berlaku ialah Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tidak mahir dalam pengurusan di zon perdagangan bebas itu dan perlu bertanggungjawab dengan pelaburan yang dibuat.

"Penyelewengan boleh kita katakan jika ada bukti tapi sekurang-sekurangnya saya rasa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tak reti berniaga," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Shafie Abu Bakar (Pas-Bangi) apakah terdapat elemen rasuah di dalam pembangunan projek PKFZ di mana kos pembinaannya mungkin meningkat sehingga RM12.5 bilion daripada kos asal RM2 bilion semasa sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Abdul Khalid berkata, daripada sesetengah pihak mencari kesalahan mengenai kewajaran projek itu, adalah lebih baik kerajaan Persekutuan memberi pinjaman kepada LPK untuk membiayai projek itu dan melupuskan hutang semasa kos projek itu bagi mengurangkan kerugian.

Jika kosnya termasuk faedah pinjaman meningkat hingga RM12 billion, LPK perlu mencari keuntungan hampir RM1.2 juta setiap tahun bagi mendapatkan pulangan 10 peratus setahun untuk membayar hutang dan menampung kos operasi, katanya dan menurutnya itu agak sukar dicapai berdasarkan pengalamannya menerajui Kumpulan Guthrie sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, jika kerajaan Persekutuan melupuskan hutang semasa kos projek ini pada RM3 bilion dengan sasaran mendapatkan keuntungan pada kadar 10 peratus iaitu RM300 juta setahun, ia adalah satu unjuran yang agak munasabah untuk dicapai PKFZ.

Abdul Khalid juga berkata, kerajaan negeri sedia membantu LPK untuk menarik pelaburan dan berharap seorang ahli Exco kerajaan negeri diterima menjadi ahli lembaga pengarah LPK kerana pada masa ini hanya pegawai kanan kerajaan negeri saja yang menjadi wakil.

Ketika menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) bilakah kerajaan negeri menganugerahkan tanah seluas 400 ekar kepada Koperasi Kemajuan Pulau Lumut dan tujuan sebenar tanah itu diberikan, Abdul Khalid berkata, pemberian tanah itu dipersetujui mesyuarat exco kerajaan negeri pada 8 Januari 1990. Tanah itu diberi milik bagi tujuan pertanian, katanya. Difahamkan tanah itu dijual kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd sebelum LPK membelinya daripada Kuala Dimensi bagi pembangunan PKFZ. - Bernama

Rakyat Kapar: Tahniah Tan Sri Khalid atas pandangan dan cadangan ini. Kita amat setuju. PKFZ ini bukan apa. Bukan masalah penyelewengan tetapi kebodohan LPK menguruskannya dan kerana LPK dan lembaga Pengarahnya bodoh dan tak ada ilmu berniaga.

2. Cadangan-cadangan Khalid mengenai PKFZ iaitu tentang kaedah penyelesaiannya amat baik sekali dan sepatutnya menteri yang berkenaan dapat menterjemahkan dalam tindakan bagi menyelesaikan isu ini.

3. Tahniah Tan Sri. Bab ini kita tabik kepada Tan Sri. Nampak sekali Tan Sri seorang yang profesional. Dalam penerangan nya di Sidang DUN tersebut tiada unsur politik kelihatan. Pandangan dan cadangannya amat pro sekali. Kepada Ong Tee Keat, kalau tak pandai nak selesaikan isu PKFZ atau asyik dok perli orang aje, baik pergi berjumpa dengan Khalid. Belajar dan dapatkan ilmu serta pandangannya. Tak salah dan tak ada ruginya.

4. Ular menyusur akar , tidak akan hilang bisanya.

1 comment:

  1. tiada bukti tidak bermakna tiada kes. pandai makan pandai simpan...bijak2

    ReplyDelete